
Wang tunai berjumlah RM1.9 juta, dua kereta mewah bernilai RM900,000 dan akaun bank bernilai RM34 juta disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan tuntutan palsu dan salah guna bon pinjaman bagi pembinaan pembinaan lebuh raya MEX II Syarikat Maju Holdings Sdn Bhd milik taikun Tan Sri Abu Sahid Mohamed atau Tan Sri Abu Juling bagi projek bernilai kira-kira RM1.3 bilion.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki mengumumkan membuka tiga kertas siasatan apabila siasatan berkenaan bermula pada 9 Mei lalu iaitu;
SIASATAN KES | JENIS KESALAHAN | JUMLAH WANG TERLIBAT | KETERANGAN TAMBAHAN |
Pertama | Tuntutan palsu | RM361 juta (dana sukuk) | Dikaitkan sebagai kes pertama dalam siri siasatan |
Kedua | Tuntutan palsu | RM416 juta (dana sukuk) + RM50 juta (pinjaman institusi perbankan) | Melibatkan dua sumber kewangan berasingan |
Ketiga | Permintaan dan penerimaan rasuah | Kira-kira RM12 juta | Disiasat sebagai kesalahan rasuah secara langsung |
Azam Baki menjelaskan pihaknya juga sudah menahan seramai sembilan individu termasuk seorang bergelar Datuk Seri manakala 31 individu lagi sudah dirakam percakapan.
“Secara amnya kes ini adalah membabitkan salah guna wang sukuk yang diberikan oleh pihak pemberi pinjaman atau mereka yang menerbitkan bon atau sukuk berkenaan,” katanya.
Bulan lalu, empat individu termasuk seorang ‘Datuk Seri’ ditahan kerana disyaki membuat tuntutan palsu berjumlah kira-kira RM360 juta.
Siasatan awal mendapati, kesemua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2016 hingga 2017.
Keempat-empat suspek disyaki mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM360 juta yang menggunakan dana sukuk dalam sebuah projek pembinaan lebuh raya di Lembah Klang yang bernilai kira-kira RM1.30 bilion.

Tan Sri Abu Juling setakat ini hanya disiasat dan tidak pernah direman atas alasan kesihatan.