
Nexion Technologies Limited (HKEX: 8420), penyedia utama infrastruktur rangkaian dan keselamatan siber di Asia, mengumumkan pelantikan Datuk Kenneth Vun sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah syarikat itu, berkuat kuasa serta-merta.
Pelantikan tokoh korporat berpengalaman itu disifatkan sebagai langkah strategik dalam usaha memperkukuh tadbir urus korporat serta melaksanakan strategi pertumbuhan jangka panjang syarikat di rantau Asia Pasifik.
Menurut kenyataan rasmi syarikat, Kenneth Vun akan mengetuai aspek pengawasan Lembaga Pengarah terhadap hala tuju korporat, pembangunan perniagaan dan dasar tadbir urus, selari dengan objektif transformasi digital syarikat dalam ekosistem digital serantau yang semakin kompetitif.
“Sebagai Pengerusi, Datuk Kenneth Vun akan memainkan peranan penting dalam memperkukuh kepimpinan strategik Nexion dan mencorak pertumbuhan syarikat secara mampan di peringkat serantau,” kata syarikat itu.
Kenneth Vun membawa pengalaman lebih 30 tahun dalam sektor teknologi, telekomunikasi, kewangan dan pasaran modal. Beliau juga dikenali atas kepakarannya dalam bidang kecerdasan buatan (AI), inovasi digital dan teknologi kewangan (fintech) — komponen utama yang menjadi pemacu kepada agenda ekonomi digital masa kini.
Beliau kini merupakan Pengarah Urusan XOX Berhad dan Symphony Life Berhad, dua syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang aktif dalam bidang teknologi dan pembangunan bersepadu. Dikenali dengan visinya dalam mempercepat penggunaan teknologi dan mendorong transformasi pelbagai sektor, pelantikan beliau dijangka membantu Nexion memperluas capaian pasaran dan membina jaringan pelaburan yang lebih kukuh.
Kenneth Vun dikenali ‘sang penguasa’ syarikat senarai awam muncul kembali dalam dunia korporat sebagai ‘Elon Musk’ Malaysia dalam sektor teknologi dan telekomunikasi serta pasaran modal. Jika sebelum ini bergerak di belakang tabir kini beliau muncul ke depan menunjukkan peranannya dalam sektor korporat. Beliau tampil membersihkan dirinya dari pelbagai persepsi dan spekulasi mengenainya sebelum ini. Malah beliau berani memulihkan semula urus tadbir syarikat bawah kawalannya misalnya syarikat Erdasan Group Bhd dengan menyingkirkan pengarah yang melakukan salahlaku di dalam syarikatnya.

Syarikatnya Key Alliance Group Bhd kini dipengerusikan ahli perniagaan terkenal Farhash Wafa Salvador yang juga menjadi pemegang saham utama syarikat itu.
Datuk Kenneth Vun mempunyai kepentingan tidak langsung dalam Nexion melalui XOX Berhad yang kini memegang 13.27 peratus saham dalam syarikat tersenarai di Bursa Hong Kong itu. Pemilikan ini menunjukkan penyelarasan strategik antara pemegang saham utama dan pengurusan syarikat, sekaligus menekankan komitmen terhadap penciptaan nilai jangka panjang.
Nexion Technologies Limited, yang beribu pejabat di Hong Kong, merupakan penyedia penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang memberi tumpuan kepada infrastruktur rangkaian perusahaan, perkhidmatan keselamatan siber serta platform digital berasaskan awan. Pelanggannya merangkumi agensi kerajaan dan korporat di seluruh Asia, termasuk Malaysia, China, Vietnam dan Singapura.
Pelantikan Kenneth Vun dijangka memberi impak besar terhadap kedudukan pasaran Nexion di Asia, khususnya dalam membangunkan penyelesaian berskala dan selamat untuk sektor perusahaan dan awam, sejajar dengan lonjakan permintaan terhadap teknologi pintar dan keselamatan digital.