KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), melalui ejen perlindungan jenamanya, Doppel Security Operations Center, telah mengemukakan notis aduan bagi meminta sebuah artikel yang disiarkan oleh portal The Corporate Secret (TCS) diturunkan atas dakwaan menggunakan tanda dagangan “PETRONAS” tanpa kebenaran.
Menurut notis berkenaan, artikel bertajuk “Rayuan Petronas Carigali: Mahkamah Persekutuan Kekalkan Keputusan Pelanggaran Dua Paten Kingtime” didakwa melanggar hak tanda dagangan kerana menggunakan perkataan “PETRONAS”, yang menurut PETRONAS boleh mengelirukan orang ramai serta menjejaskan jenamanya.
Dalam notis itu, Doppel turut mengesahkan bahawa pihaknya bertindak sebagai ejen yang diberi kuasa oleh Petroliam Nasional Berhad dan menggesa kandungan tersebut dipadamkan serta-merta dengan melampirkan dokumen berkaitan.
Bagaimanapun, The Corporate Secret menegaskan bahawa penggunaan nama dan logo PETRONAS dalam laporan berkenaan bukan bertujuan menciplak, menyamar atau mengeksploitasi harta intelek syarikat, sebaliknya digunakan bagi mengenal pasti entiti korporat yang menjadi subjek laporan mahkamah.
Penggunaan logo tersebut adalah bagi mengesahkan bahawa syarikat yang disebut dalam laporan ialah PETRONAS yang sebenar, sama seperti amalan lazim media tempatan dan antarabangsa yang menyiarkan laporan berkaitan syarikat dengan memaparkan identiti serta logonya. Maka penggunaan perkataan “PETRONAS” atau logo PETRONAS tidak semestinya merupakan pelanggaran hak tanda dagangan.
Bagaimana ia sesuatu yang mengelirukan jika faktanya PETRONAS terbukti kalah di mahkamah dan perlu membayar lebih RM 1 bilion?
Aduan berkaitan PETRONAS terhadap The Corporate Secret bukanlah sesuatu yang baharu. Ia sebagaimana laporan terhadap ‘Mafia Korporat’ Victor Chin dan skandal skim MBI yang akhirnya semua mereka disiasat, reman dan ditangkap. Sebelum ini, The Corporate Secret berdepan tindakan saman selepas menerbitkan tujuh artikel berkaitan PETRONAS, namun Tan Sri Datuk Tengku Muhammad Taufik Presiden Petronas mengupah firma guaman Moideen & Max Advocates and Solicitors dimiliki Muhammad Faisal Moideen and Maximilian yang anti Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankannya.
Persoalannya ketika itu Mengapa CEO Petronas lantik Peguam Pro PN ‘kaki balun’ PM Anwar, Kerajaan Perpaduan saman The Corporate Secret?.
Sejak dilaporkan Mei 2023 SPRM kemudiannya mengesahkan siasatan namun kes itu kekal misteri mengapa syarikat Petrofac yang telah mengaku bersalah atau disabitkan dalam kes rasuah di beberapa bidang kuasa dan menjadi subjek tindakan penguatkuasaan antarabangsa masih diberikan kontrak oleh PETRONAS. The Corporate Secret merujuk kepada tindakan UK Serious Fraud Office (SFO) serta tindakan litigasi sekuriti yang difailkan terhadap Petrofac di Mahkamah Tinggi London pada 12 Mei 2023 oleh firma guaman Fox Williams bagi pihak pelabur yang mendakwa mengalami kerugian akibat skandal rasuah Petrofac.

PETRONAS menganugerahkan kontrak EPCIC bernilai kira-kira USD250 juta kepada Petrofac bagi pembangunan Medan Sepat pada tahun 2010, sedangkan projek yang sama kemudiannya menjadi subjek pertikaian paten yang akhirnya dimenangi Kingtime International Ltd. Kontrak Engineering, Procurement, Construction, Installation and Commissioning (EPCIC) itu melibatkan reka bentuk, pembinaan, pembekalan dan penghantaran sebuah Mobile Offshore Production Unit (MOPU), Wellhead Support Structure (WHSS) yang boleh ditanggalkan serta sebuah Floating Storage and Offloading (FSO). Bagaimanapun, komponen MOPU dan WHSS yang dibekalkan di bawah projek tersebut kemudiannya diputuskan oleh Mahkamah Rayuan, dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan, sebagai melanggar dua paten milik Kingtime International Ltd di bawah Akta Paten 1983, iaitu MY-144898-A dan MY-145004-A.
Mengapa Petronas di bawah Tengku Muhammad Taufik sebagai Presiden CEO & Petronas tak guna hak indemniti rampas atau ambil balik USD154 juta ini daripada Petrofac untuk dibayar kepada pemunya hak paten iaitu bernilai USD154 juta iaitu 55% daripada USD 280 juta? Wal hal Petronas boleh menggunakan USD 154 juta itu (kira-kira RM 700 juta ketika itu) di luar mahkamah berbanding membayar lebih RM1 bilion sekarang. Demi Petrofac Tengku Muhammad Taufik sanggup melakukan apa sahaja!
Betapa hebatnya dan kuatnya Petrofac sekalipun isu rasuah UK Serious Fraud Office (SFO) dilapor oktober 2021 namun pada November 2021, Petrofac mengumumkan bahawa syarikat itu telah dianugerahkan kontrak bernilai kira-kira RM399 juta oleh Petronas Carigali Sdn. Bhd. bagi melaksanakan projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk loji Bintulu Additional Gas Sales Facilities 2 (BAGSF-2) di Tanjung Kidurong, Bintulu, Sarawak.
Petrofac nampaknya seperti sudah mengikat Tengku Muhammad Taufik untuk kekal dalam kontrak PETRONAS.
PETRONAS DIMALUKAN
The Corporate Secret telah melaporkan lebih awal risiko PETRONAS bakal berdepan kekalahan dalam litigasi paten tersebut dan kini terbukti keputusan Mahkamah Persekutuan akhirnya mengesahkan jangkaan itu dan perlu membayar kos yang lebih mahal.
Oleh itu, alasan kononnya berlaku pelanggaran tanda dagangan dilihat sekadar dijadikan asas untuk menuntut artikel tersebut diturunkan. Persoalan yang lebih besar ialah mengapa PETRONAS begitu bersungguh-sungguh mahu menutup laporan yang berpandukan rekod mahkamah dan fakta yang telah dilaporkan secara terbuka. Apa yang lebih memalukan ialah keputusan mahkamah berhubung Petrofac telah menjadi perhatian antarabangsa, namun syarikat itu masih menerima projek di Malaysia. Keadaan ini menimbulkan persoalan sama ada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, sedang mempertahankan keputusan korporat yang semakin sukar dipertahankan di mata rakyat.
Sebagaimana Mafia Korporat mungkin Tengku Muhammad Taufik mahu maklumat yang terperinci didedahkan agar rakyat bangkit mempersoalkannya? Apakah beliau yakin boleh bertahan selamanya? Apakah siasatan SPRM yang tertangguh di bawah Tan Sri Azam Baki tidak dibuka semula di bawah Dato’ Sri Abdul Halim Aman?

