Pengakuan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) diperdayakan sehingga melaburkan RM200 juta dalam syarikat pemula akuakultur Indonesia, eFishery, mengukuhkan persoalan yang telah dibangkitkan lebih awal mengenai proses kelulusan pelaburan dana persaraan penjawat awam itu.
Pada Mei lalu, The Corporate Secret telah membangkitkan isu berkenaan menerusi laporan bertajuk “SPRM digesa siasat bekas CEO KWAP dan Hazman Hilmi (CIO) dalam skandal pelaburan RM200 juta eFishery”, yang mempersoalkan sama ada semua proses penilaian, kelulusan dan pemantauan pelaburan telah dilaksanakan dengan sewajarnya sebelum dana awam tersebut disalurkan.
Kini, jawapan bertulis Perdana Menteri di Parlimen mengesahkan bahawa KWAP sebenarnya menjadi mangsa penipuan terancang dan manipulasi laporan kewangan yang menyebabkan institusi itu melaburkan kira-kira AS$47.7 juta (hampir RM200 juta) dalam pusingan pembiayaan Series D eFishery pada Julai 2023.
Menurut Anwar, keputusan pelaburan dibuat berdasarkan maklumat yang tersedia ketika itu, termasuk penyata kewangan yang disahkan oleh juruaudit antarabangsa bertauliah. Selain itu, konsortium pelabur yang disertai KWAP turut menjalankan usaha wajar bebas (independent due diligence) sebelum membuat keputusan pelaburan.
Beliau turut menjelaskan bahawa eFishery ketika itu menerima pelaburan daripada beberapa institusi dan dana teknologi antarabangsa terkemuka termasuk Temasek, SoftBank, 42XFund dan Northstar, yang masing-masing mempunyai proses penilaian serta tadbir urus pelaburan bertaraf antarabangsa.
Bagaimanapun, pengakuan bahawa KWAP telah diperdayakan tidak semestinya menamatkan persoalan mengenai akauntabiliti pihak yang meluluskan pelaburan tersebut.
Ini kerana pelaburan melibatkan dana persaraan penjawat awam lazimnya melalui beberapa lapisan semakan termasuk pengurusan pelaburan, Jawatankuasa Pelaburan, Panel Pelaburan dan Lembaga Pengarah sebelum sesuatu keputusan dimuktamadkan.
Sehubungan itu, persoalan yang dibangkitkan sebelum ini kekal relevan: adakah semua pihak yang terlibat telah melaksanakan tanggungjawab fidusiari dan proses semakan risiko secara menyeluruh, atau terdapat kelemahan dalam mekanisme tadbir urus yang membolehkan penipuan tersebut tidak dapat dikesan lebih awal?
Dalam jawapan Parlimennya, Anwar memaklumkan bahawa KWAP telah melaksanakan semakan menyeluruh terhadap proses penilaian, kelulusan dan pemantauan pelaburan berkenaan. Hasil semakan itu telah dibentangkan kepada Lembaga KWAP, dan tindakan susulan dikatakan telah diambil selaras dengan rangka kerja tadbir urus serta prinsip akauntabiliti institusi.
Beliau turut memaklumkan bahawa konsortium pelabur termasuk KWAP sedang mengambil langkah undang-undang, usaha pemulihan dana, semakan tatakelola dalaman serta pengukuhan kawalan bagi mengelakkan insiden seumpama itu berulang.
Kes eFishery menjadi antara skandal korporat terbesar di rantau ini selepas pengasas bersamanya, Gibran Huzaifah, disabitkan oleh mahkamah di Bandung atas kesalahan pecah amanah dan pengubahan wang haram. Syarikat yang sebelum itu dipromosikan sebagai peneraju teknologi akuakultur Asia didakwa memanipulasi prestasi kewangan bagi menarik pelaburan daripada institusi antarabangsa.
Pengakuan rasmi Perdana Menteri bahawa KWAP telah diperdayakan kini memberikan dimensi baharu kepada isu tersebut. Namun, persoalan yang masih belum terjawab ialah sama ada semakan dalaman KWAP akan membawa kepada tindakan terhadap mana-mana pegawai atau pihak yang bertanggungjawab meluluskan pelaburan itu, sekiranya didapati berlaku kecuaian, pelanggaran tatakelola atau kegagalan melaksanakan usaha wajar mengikut piawaian yang ditetapkan.
Siapa yang bertanggungjawab terhadap keputusan pelaburan RM200 juta eFishery?
Pelaburan KWAP dalam eFishery berlaku ketika Datuk Nik Amlizan Mohamed masih menerajui institusi tersebut sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWAP. Beliau memegang jawatan itu dari November 2020 sehingga Mac 2026, merangkumi tempoh ketika keputusan pelaburan dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia itu dibuat pada 2023.

Selain itu, Hazman Hilmi Sallahuddin turut dikaitkan dengan tempoh tersebut ketika beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Pelaburan (CIO) KWAP. Sebagai CIO, jawatan berkenaan secara umumnya memainkan peranan penting dalam mengurus strategi pelaburan institusi, menilai peluang pelaburan, menyelaras proses analisis dan usaha wajar (due diligence), serta memberikan pandangan profesional kepada jawatankuasa berkaitan sebelum sesuatu keputusan pelaburan dimuktamadkan.

Susulan pengakuan bahawa KWAP telah diperdayakan dalam pelaburan hampir RM200 juta tersebut, persoalan utama kini tertumpu kepada rantaian proses kelulusan, pemantauan dan tadbir urus dalaman yang membawa kepada keputusan pelaburan itu.
Adakah keputusan tersebut dibuat sepenuhnya berdasarkan strategi pelaburan yang telah diluluskan melalui rangka kerja tadbir urus KWAP, atau wujud kelemahan dalam proses penilaian risiko, semakan maklumat dan pemantauan selepas pelaburan dibuat?
Selain itu, sejauh mana peranan pihak berkaitan termasuk pengurusan kanan KWAP, Jawatankuasa Pelaburan, Panel Pelaburan serta Lembaga Pengarah KWAP dalam memastikan keputusan pelaburan berskala besar dibuat berdasarkan maklumat yang tepat, mencukupi dan melalui proses usaha wajar yang sewajarnya?
Persoalan ini menjadi semakin penting kerana pelaburan tersebut melibatkan dana persaraan penjawat awam, sekali gus menuntut tahap akauntabiliti, ketelusan dan tadbir urus yang tinggi daripada semua pihak yang terlibat dalam proses membuat keputusan.
