KUALA LUMPUR — Pemburuan parti pemerintah terus membuak-buak. Setiausaha politik yang keras mengkritik Kerajaan Madani kini dalam radar. Terbaru nama Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Mohd Razlan Muhamad Rafii, dan Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan, kembali menjadi perhatian susulan dakwaan bahawa kedua-duanya mungkin ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu ini.
Menurut sumber perkembangan itu dipercayai berkaitan siasatan terhadap proses perolehan beberapa projek infrastruktur luar bandar di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), khususnya berkaitan projek di Sabah.
Bagaimanapun, setakat artikel ini disediakan, SPRM belum mengeluarkan kenyataan rasmi yang mengesahkan bahawa Razlan atau Rafi akan ditahan, direman atau didakwa namun maklumat dalaman SPRM menunjukkan dua pemimpin yang disebutkan tersenarai dalam pemburuan SPRM.
Isu projek KKDW Sabah sebenarnya bukan perkara baharu. Pada Februari 2024, sebuah blog tempatan menerbitkan dakwaan mengenai campur tangan pihak berkepentingan dalam pemilihan kontraktor bagi projek infrastruktur luar bandar yang keseluruhannya dikatakan bernilai melebihi RM2 bilion.
Laporan berkenaan mengaitkan Razlan dan Rafi bersama Datuk Jamal Nerubi serta Ketua Setiausaha KKDW ketika itu bersekongkol dengan Datuk Seri Ramlan Harun, yang kini merupakan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Mereka didakwa mempunyai pengaruh dalam penyusunan kontraktor dan perjalanan proses perolehan projek KKDW di Sabah.
Laporan berkenaan mendakwa sebanyak 76 projek dikenal pasti, manakala 98 syarikat dikatakan melepasi proses prakelayakan atau pre-qualification. Semua tender itu dikatakan disusun oleh Razlan, Rafi, Datuk Megat dan Datuk Seri Ramlan Harun.
Pada Julai tahun lalu, nama Datuk Mohd Rafi Alli Hassan turut dikaitkan dengan seorang taikun dari Singapura, Dato’ Sri Pek Kok Sam, yang didakwa menjadi dalang dalam skandal rasuah membabitkan kegiatan perlombongan berskala besar di Sabah menerusi Teguh Permata Sdn. Bhd. dan Bumi Kinabalu Resources Sdn. Bhd. Susulan pendedahan tersebut, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang ketika itu diterajui Tan Sri Azam Baki, dilaporkan mengesahkan bahawa satu kertas siasatan telah dibuka.
