Desas-desus pelanjutan kontrak Tengku Muhammad Taufik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas dipersoalkan ketika syarikat minyak negara itu berdepan kekalahan dalam pertikaian paten Kingtime, kemungkinan tanggungan ganti rugi besar, kemerosotan keuntungan serta konflik berterusan dengan Sarawak.
KUALA LUMPUR: Kerajaan sepatutnya menilai semula keputusan mengekalkan Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petroliam Nasional Bhd (Petronas), bukannya memberikan pelanjutan kontrak kedua ketika pelbagai kontroversi besar membabitkan kepimpinannya masih belum dijelaskan secara terbuka.
The Edge dilaporkan menyebut bahawa Tengku Taufik menerima pelanjutan kedua sebagai Presiden, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutif selepas tempoh perkhidmatannya berakhir pada Julai. Kontrak baharu itu dikatakan mungkin berlangsung sekurang-kurangnya dua tahun. Ia satu bencana kepada Petronas! Presiden dan CEO ‘SAKAU’ diteruskan mentadbir Petronas.
Bagaimanapun, Petronas dilaporkan enggan mengulas perkara berkenaan. Oleh itu, butiran rasmi mengenai tempoh kontrak, syarat pelanjutan dan proses penilaian prestasi Tengku Taufik masih belum diumumkan kepada umum.
Sekiranya pelanjutan itu benar, keputusan tersebut menimbulkan persoalan sama ada kerajaan telah membuat penilaian menyeluruh terhadap rekod pengurusan Tengku Taufik—termasuk pengendalian pertikaian paten antara Petronas Carigali Sdn Bhd dan Kingtime International Ltd terkait Petrofac yang memalukan.
Petronas tewas dalam pertikaian paten Kingtime
Pada 4 Mei 2026, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Petronas Carigali untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang memihak kepada Kingtime.
Keputusan Mahkamah Rayuan pada November 2025 menetapkan bahawa paten Kingtime adalah sah dan telah dilanggar oleh Petronas Carigali. Mahkamah juga mengarahkan perkara itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi bagi penilaian ganti rugi.
Pertikaian tersebut melibatkan penggunaan struktur kepala telaga boleh tanggal yang dipatenkan Kingtime pada unit pengeluaran luar pesisir bergerak atau MOPU di medan minyak Sepat.
Sebelum itu, Petrofac E&C Sdn Bhd (anak syarikat Petrofac UK)—kontraktor yang mereka bentuk dan membina MOPU berkenaan—telah diputuskan melanggar paten Kingtime. Keputusan terhadap Petrofac menjadi muktamad selepas proses rayuannya berakhir pada 2020.
Persoalan utama kini ialah mengapa Petronas Carigali memilih untuk meneruskan pertikaian panjang itu sedangkan status pelanggaran paten oleh Petrofac telah pun diputuskan dalam prosiding terdahulu.
Apa berlaku kepada perlindungan indemniti Petrofac?
Kontroversi itu menjadi lebih serius apabila laporan The Edge pada Jun 2026 membangkitkan kewujudan klausa indemniti dalam kontrak Petronas Carigali dengan Petrofac.
Surat Petronas Carigali kepada Petrofac bertarikh 19 November 2012 dilaporkan menyatakan bahawa syarikat berkenaan menguatkuasakan hak indemniti di bawah Perkara 39 kontrak EPCIC.
Klausa tersebut pada asasnya mewajibkan Petrofac melindungi Petronas Carigali daripada kerugian, tuntutan, kos dan perbelanjaan yang timbul akibat pelanggaran paten berkaitan pelaksanaan kontrak.
Namun, apa yang berlaku selepas surat itu dikeluarkan masih tidak diketahui. Petronas juga dilaporkan belum menjelaskan mengapa perlindungan berkenaan tidak kelihatan telah menyelesaikan pendedahan kewangannya.
Sekalipun angka melebihi RM1 bilion yang dikaitkan dengan kes ini belum ditetapkan sebagai ganti rugi muktamad oleh mahkamah namun jumlah tersebut merupakan anggaran potensi tuntutan atau pendedahan kewangan berdasarkan dokumen dan pengiraan pihak Kingtime.
Namun demikian, keputusan mahkamah yang memihak kepada Kingtime dan proses penilaian ganti rugi yang masih berjalan menjadikan risikonya nyata serta memerlukan penjelasan penuh daripada pengurusan Petronas.
Dakwaan arahan PM9 Dato’ Sri Ismail Sabri tidak diselesaikan
The Corporate Secret sebelum ini mendedahkan dua surat Kingtime kepada Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bertarikh 24 Ogos 2021 dan 20 Jun 2022.
Menurut dokumen itu, terdapat catatan minit yang mengarahkan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas supaya menyelesaikan isu berkenaan.
Kingtime juga dilaporkan pernah menawarkan penyelesaian global tanpa pengakuan liabiliti. Bagaimanapun, pertikaian tersebut tetap diteruskan sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan.
Dokumen itu menimbulkan persoalan penting: apakah tindakan Tengku Taufik selepas perkara tersebut dirujuk kepadanya? Adakah cadangan penyelesaian Kingtime dinilai secara bebas? Siapakah yang memutuskan supaya litigasi diteruskan dan apakah asas komersial keputusan itu?
Daripada dua surat Perdana Menteri itu jelas Tengku Taufik secara sengaja “mengingkari arahan” atau “melindungi Petrofac”. Beliau sanggup berhadapan mahkamah dan membayar ganti rugi dari membenarkan Petrofac dihukum.
Keuntungan merosot, ribuan pekerja dikurangkan
Pelanjutan kontrak itu juga dilaporkan berlaku ketika prestasi kewangan Petronas berdepan tekanan besar.
Petronas mencatatkan keuntungan selepas cukai RM45.4 bilion bagi 2025, merosot daripada RM55.1 bilion pada 2024. Pendapatan turut turun daripada RM320 bilion kepada RM266.1 bilion. Ini merupakan kemerosotan keuntungan bagi tahun ketiga berturut-turut, walaupun faktor harga minyak dan keadaan industri global turut mempengaruhi prestasi berkenaan.

Pada masa sama, Petronas melaksanakan pengurangan kira-kira 5,000 tenaga kerja sebagai sebahagian daripada langkah penstrukturan dan pengurangan saiz organisasi. Inilah cara Tengku Taufik Petronas rugi dan buang pekerja.
Apabila ribuan pekerja terpaksa menanggung kesan penstrukturan, kerajaan mempunyai tanggungjawab lebih besar untuk menjelaskan ukuran prestasi yang digunakan bagi memberikan pelanjutan kontrak kepada kepimpinan tertinggi syarikat.
Pertikaian Petronas Vs Kerajaan Sarawak – PETROS belum selesai
Petronas turut berdepan pertikaian berpanjangan dengan Sarawak mengenai kuasa kawal selia, pengagregatan gas dan penguasaan sumber petroleum negeri itu.

Sarawak mempunyai kedudukan penting dalam rantaian gas negara dan menempatkan kompleks LNG utama Petronas. Kegagalan mencapai penyelesaian yang jelas bukan sahaja membawa implikasi perundangan, malah boleh menjejaskan keselamatan tenaga, hasil Petronas dan hubungan antara kerajaan Persekutuan dengan Sarawak.
Apa yang Tengku Taufik Presiden Petronas fikir ialah terus melawan tidak kisah hubungan dengan Kerajaan Sarawak terus terjejas.
Dalam keadaan ini, pelanjutan kontrak seharusnya berdasarkan rekod penyelesaian masalah, pengurusan risiko dan keupayaan mempertahankan kepentingan negara—bukan semata-mata atas alasan kesinambungan kepimpinan.
Kerajaan perlu dedahkan asas pelantikan semula
Petronas bukan syarikat persendirian biasa. Di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974, syarikat minyak negara itu tertakluk kepada kawalan dan arahan Perdana Menteri. Justeru, kerajaan tidak boleh menganggap pelantikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas sebagai urusan dalaman yang tidak memerlukan pertanggungjawaban awam.
Sebelum Tengku Taufik diberikan mandat baharu, kerajaan sepatutnya mendedahkan:
- penilaian prestasi yang menjadi asas pelanjutan kontraknya;
- keputusan lembaga pengarah dan jawatankuasa pencalonan Petronas;
- status sebenar liabiliti dalam kes Kingtime;
- tindakan Petronas terhadap klausa indemniti Petrofac;
- tindakan susulan terhadap surat yang dirujuk oleh PM9;
- kos keseluruhan litigasi tersebut; dan
- pelan penyelesaian pertikaian Petronas dengan Sarawak.
Tanpa penjelasan tersebut, pelanjutan kontrak Tengku Taufik hanya akan dilihat sebagai keputusan yang mengetepikan persoalan tadbir urus yang belum terjawab.
Kerajaan sepatutnya menangguhkan atau mengkaji semula pelantikan itu sehingga audit bebas dilaksanakan dan semua persoalan mengenai kes Kingtime–Petrofac dijawab secara terbuka. Kesinambungan kepimpinan tidak boleh dijadikan alasan untuk menutup kegagalan membuat keputusan atau mengelakkan pertanggungjawaban terhadap pengurusan aset strategik negara.
BACA ARTIKEL LAIN;
